Friday, February 10, 2006

Cinta Zulaikha

Cinta. Semua orang mendambakan cinta. Jangan pesimis terhadap cinta. Sesungguhnya bijak pandai bersetuju bumi ini pun berputar kerana cinta...

Semua orang inginkan bahagia. Semua orang mengakui cinta itu indah dan mengasyikkan. Dalam bebanyak kisah cinta di dunia, aku sangat tertarik dengan cinta Zulaikha...

Zulaikha ialah isteri pembesar Mesir, Al Aziz. Beliau seorang yang sangat cantik dan memiliki sifat-sifat kemuliaan, tetapi, tidak mempunyai anak.
Suatu hari, Al Aziz membawa khabar gembira iaitu terdapat seorang budak yang dibelinya dari seorang saudagar yang menemukan budak itu dalam sebuah perigi. Demi terpandang sahaja Zulaikha kepada anak itu, beliau terasa sungguh gembira dan bahagia. Hidupnya gembira dan ceria dengan kehadiran anak angkat mereka, Yusuf.

Yusuf membesar dengan wajah yang tampan, bertubuh sasa dan berbudi pekerti. Bertambah-tambah rasa kasih Zulaikha terhadap Yusuf bukan setakat kasih sebagai ibu angkat tapi, telah bertukar kepada c i n t a . Suatu malam dikenakannya pakaian yang indah dan menawan bertujuan memikat hati si Yusuf sementelah si suami menjalankan suatu urusan rasmi lalu si isteri menuju ke bilik Yusuf. Yusuf berkali-kali menolak pelawaan Zulaikha dengan mengingatkan tentang dosa. "Sungguh cantik matamu" puji Zulaikha kepada lelaki yang tertampan di dunia yang dicipta Allah itu. "Mataku akan pertama terkeluar setelah badanku dimamah tanah" demikian jawab Yusuf. Maka terjadilah adegan yang telah kita selalu baca dalam Al Quran. Yusuf berlari dan Zulaikha menyentap baju Yusuf dengan kuat dan terkoyak. Ketika itu si suami pulang dan terlihat apa yang sudah terjadi. Memang Zulaikha didapati bersalah tetapi Al Aziz meminta perkara itu dirahsiakan.

Tetapi, peristiwa itu tersebar luas di bumi Mesir sehingga para wanita sibuk menceritakan hal itu. Zulaikha berasa marah lalu menjemput banyak kaum wanita ke kediaman mereka dan menjamu mereka. Ketika itulah Yusuf disuruh keluar, dan demi terpandang sahaja wajah Yusuf, maka, kaum wanita itu tidak terasa memotong jari jemari sendiri oleh ketampanan si Yusuf.

Keengganan Yusuf menyahut seruan Zulaikha menjadikan Zulaikha meminta suaminya memenjarakan Yusuf. Sebenarnya Zulaikha sangat sedih dan berdukacita setelah Yusuf dipenjarakan kerana rasa cintanya terhadap Yusuf begitu mendalam. Zulaikha berdukacita sepanjang Yusuf di penjara.

Masa berlalu (ringkaskan cerita), Yusuf dilantik menjadi raja Mesir kerana kebijakannya mengurus masalah ekonomi Negara Mesir dan baginda juga dilantik sebagai seorang Rasul. Zulaikha sudah menjadi wanita tua, buta dan ada riwayat mengatakan beliau telah hilang fikiran. Ada juga syair yang menulis Zulaikha sentiasa mengharapkan walaupun debu-debu berterbangan dari Yusuf singgah kepadanya, dan sentiasa menyebut-nyebut nama Yusuf. Nabi Yusuf tidak mengenalinya dan merasa malu namanya disebut-sebut begitu. Tapi, malaikat Jibril memberitahu, dia sendiri menyintai wanita itu kerana dalam diri wanita itu mengandungi cinta yang amat besar kepada Nabi yang sangat dicintai olehnya (Jibril) Kerana cinta Zulaikha yang agung itu menjadi malaikatpun mengasihi Zulaikha. Dengan mukjizat Nabi Yusuf alaihissalam, Zulaikha menjadi muda kembali, dan baginda mengahwini Zulaikha...

Wah, syahdunya kisah Zulaikha. Aku ingin sangat membaca kisah Zulaikha dan pertemuan beliau kembali dengan Nabi Yusuf. Tentu banyak keistimewaan Zulaikha hingga beliau terpilih untuk menjadi pasangan Nabi Yusuf. Sesuai dengan blog aku ni, jadi moral di sini ialah, be optimist! Jangan terlalu kecewa atau bersedih. Yakin dan berusaha kerana, mungkin tidak diberinya kita kebahagiaan sekarang tetapi akan diberinya kita kebahagiaan suatu hari nanti...
kucari kebahagiaan walaupun hingga ke hujung nyawa..

Marilah Hidup Dengan Bahagia Ceria

Di hadapan kita terbentang dua jalan, jalan yang benar dengan jalan yang salah, jalan menuju kepada penderitaan dan jalan menuju kebahagiaan. Aku ingin menulusuri jalan yang benar walaupun penuh duri dan aku ingin bahagia bukannya derita. Allah memberi apa yang dipinta. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama pandangan hamba-Nya. Sentiasa optimis dan yakin akan janji-janji Allah. Tuhan bimbinglah kami ke jalan-Mu yang lurus...

Esok akan merekah bunga yang harum baunya mengusir segala kesedihan dan menjadi penghibur hati.

Semua orang, baik yang memiliki istana mahupun yang memiliki rumah sederhana, pasti menjalani kehidupannya, tetapi siapakah yang benar-benar meraih kebahagiaan dalam hidup?

Kuturuti keinginanku, ternyata ia memperhambakanku. Sekiranya aku menerima apa yang ada, tentu aku menjadi orang yang merdeka.

Seandainya tiada nyalaan api di sebelahku, tentulah bau harum kayu gaharu tidak akan tercium

Wanita yang berakal dapat mengubah sahara yang tandus menjadi taman yang indah lagi subur.

Ambillah daripada angin sepoi-sepoi kelembutannya, dari minyak wangi keharumannya dan dari gunung ketegaran dan kekukuhannya.

Jangan pernah berputus asa, kerana perubahan itu akan terjadi beransur-ansur. Anda akan meghadapi banyak rintangan yang melemahkan semangat, maka jangan biarkan ia menguasai anda.

Sesungguhnya peralihan dari kekeliruan kepada kebenaran memerlukan perjuangan yang panjang, tetapi semua itu terasa indah jika anda benar-benar yakin dan setelah anda memperolehnya, anda akan rasa betapa bertuahnya menjadi seorang anda..

Selidikilah masa lalu dan masa sekarang anda, kerana kehidupan ini terdiri daripada bermacam-macam pengalaman yang berkesinambungan, sesorang harus keluar darinya dengan membawa kemenangan.

Sungguh menkagumkan perihal orang mukmin itu kerana semua urusannya hanyalah baik baginya.

Rembulan tertawa dan bintang-bintang bersorak-sorai lalu mengapa kita biarkan kesedihan membunuh dan mencekik kita?

Usirlah semua kesedihan dengan menyebut nama Allah yang bergantung pada-Nya segala sesuatu dan hindari serta jauhilah hawa nafsu yang melenakan.

Sesungguhnya kebahagiaan itu ada dalam diri anda. Kerana itu sudah seharusnya anda mengerahkan jerit payah anda untuk memperbaiki diri sendiri.

Adakalanya jiwa ini mengeluh kerana musibah yang menimpanya padahal ada jalan keluarnya semudah membuka ikatan

Janganlah engkau mengeluh jika suatu hari mengalami kesulitan, kerana sesungguhnya andapun pernah mengalami kemudahan dalam waktu yang cukup lama.

Jadilah wanita yang paling bahagia..



Saturday, February 04, 2006

Maal Hijrah 1427

Walaupun agak terlambat, di sini aku ingin mengucapkan selamat tahun baru hijrah kepada semua pelayar blog dan aku ingin memulakan era baru dalam blogku ini.

Sebelum ni, blogku banyak menceritakan masalah peribadiku. Aku bertujuan untuk melegakan fikiran di samping bertukar-tukar pandangan. Namun, strategik itu nampaknya tidak berkesan, bahkan menjadikan aku sentiasa terkenangkan kisah-kisah lalu.

Agenda yang paling penting aku lakukan sekarang ialah melupakan segala kisah silam. Hidupku selama ini sangat dihantui oleh kisah-kisah yang menjadikan hidup aku kelam, kesah dan gelisah. Lagipun, perkara buruk seperti itu ibarat ikan yang dah busuk, semua orang tidak gemar kan. Memang, aku ini diselimuti trauma. Bukan mudah menyingkirkan segala pahit maung berbelas-belas tahun lamanya. Aku hendak sangat mencari pakar sakit jiwa untuk aku ungkaikan segala masalahku. Atau mencari orang 'kasyaf' menyelidik apa sebab dan faktor perkara yang menimpa hidupku. Aku memang mencari, tapi, aku masih tidak menemukannya. Mungkin inilah proses pembelajaran terpanjang dalam hidup, iaitu mencari, menyelidik hakikat kehidupan. Bumi yang terbentang luaslah medan ilmuku dan, segala makhluk-Nyalah yang menjadi guruku. Cuma aku sentiasa berharap agar Allah sentiasa bersama-samaku dalam susah dan senangku.

Haa..jadi, aku ingin memulakan tahun baru ini dengan perkara-perkara yang boleh menceriakan diri dan hatiku. Beserta orang-orang lain dalam membuat kebajikan, mengejar kemakmuran hidup.

Sebelum memulakan topik penceritaan, aku ingin mengucapkan syukur yang tak terhingga kepada Penciptaku, yang masih memberi aku masa untuk mengubah diriku. Juga kepada teman-teman blog yang telah berkunjung ke blogku dan menyabarkan aku. Walaupun anda semua tidak mengenaliku, tapi, keluhuran kalian sedikit sebanyak menjadikan aku rasa aku masih ada tempat di dunia ini dan menjadikan aku sedikit lega...

<

Meh kita sembang-sembang .